Selasa, 6 Oktober 2009

MANUSIA DAN ADAM

Secara dasarnya manusia berasal daripada Nabi Adam dan Nabi Adam berasal daripada tanah. Walau bagaimanapun penciptaan keturunan Nabi Adam adalah berbeza daripadanya kerana mereka diciptakan Allah bukan daripada tanah sebaliknya daripada air yang mengandungi benih lelaki dan wanita. Dalam surah al-Haj ayat 5 Allah menjelaskan mengenai proses-proses kejadian ini melalui kata-katanya yang bermaksud, “Wahai manusia jika kamu meragui hari kebangkitan (maka ingatlah) kami menciptakanmu daripada tanah kemudian daripada nuthfah.”

Sekiranya ayat ini dibaca terpisah daripada ayat-ayat yang lain dan terpisah daripada tafsiran yang muktabar, ia membawa maksud yanh salah. Seseorang mengatakan proses kejadian semua manusia bermula daripada tanah, kemudian tanah itu bertukar menjadi nuthfah dan begitu juga seterusnya, sedangkan tujuan ayat ini tidak seperti itu. Cara terbaik bagi memahami sesuatu ayat adalah dengan merujuk ayat Quran lain yang seumpamanya supaya pentafsiran yang dilakukan tidak terbabas daripada metodologi yang sah.

Berhubung dengan kejadian manusia daripada tanah, dalam surah Ali Imran ayat 59 Allah berkata, “ Sesungguhnya perumpamaan (penciptaan) Isa di sisi Allah adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah mencipta Adam daripada tanah kemudian Allah berkata kepadanya ‘Jadilah’ maka jadilah dia (seorang manusia).”

Ayat ini menceritakan mengenai kejadian beberapa orang manusia dalam bentuk yang luar biasa tanpa memenuhi undang-undang alam tabii. Mereka adalah Nabi Adam dan Nabi Isa. Nabi Adam dijadikan tanpa perantaraan ayah dan ibu manakala Nabi Isa dijadikan tanpa bapa. Dalam konteks Nabi Adam, Allah mengatakan beliau dijadikan daripada turaab iaitu tanah. Justeru sebarang ayat yang menceritakan mengenai kejadian manusia daripada tanah berkait rapat dengan kejadian Nabi Adam secara khusus.

Mengikut Hans wehr A Dictionary of Modern
Written Arabic oleh J Milton Cowan, perkataan turaab bermaksud dust, earth, dirt, ground, soil yang dalam bahasa Melayu bermaksud debu, bumi dan tanah. Justeru ayat 5 dalam surah al-Haj yang menceritakan berkenaan kejadian manusia daripada turaab adalah berkaitan dengan kejadian Nabi Adam secara khusus yang dijadikan daripada tanah.

Dalam ayat-ayat yang lain sifat tanah ini diperincikan lagi oleh Allah melalui penggunaan perkataan seperti thiin dan salsaal yang membawa maksud tanah liat. Sebagai contoh, dalam surah al-Hajr ayat 26 Allah menyifatkan tanah ini sebagai ‘tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk ‘. Dalam surah al-Mukminun ayat 12 Allah menyifatkan tanah ini sebagai ‘tanah liat’ dan demikian juga yang disebutkan dalam surah as-Saffat ayat 11. ‘Tanah liat’ dalam bahasa inggeris bermaksud clay.

Berhubung dengan perkara ini, di dalam Tafsir al-Azhar, Hamka berkata “Manusia cuba menyelidik sendiri bagi menghasilkan ilmu pengetahuan berkenaan asal usul manusia dan bagaimana asal kejadiannya. Yang menerangkan asas kejadian manusia hanyalah Quran iaitu manusia berasal daripada tanah hitam yang berubah bau dan menjadi tanah kering. Teori ilmu pengetahuan boleh boleh kita selidiki terus dan (teori-teori itu) tidak kita terima secara mutlak dan tidak kita tolak secara mutlak kerana kajian itu di (sambung) terus oleh orang lain. Namun kepercayaan yang diajar oleh agama kita perlu terima secara mutlak iaitu manusia berasal daripada tanah. Sekiranya hendak diadakan penyelidikan lagi berkenaan proses (atau peringkat) kejadian ini berasaskan dasar (yang ditetapkan Quran), silakan!”




Nabi Adam dan Tanah


Kenyataan Quran manusia (iaitu Nabi Adam) berasal daripada tanah liat bukan suatu yang tidak masuk akal. Hal ini disebabkan pada hari ini penemuan sains menunjukkan permulaan kehidupan secara umumnya mungkin bermula daripada tanah liat atau clay. Pandangan ini, yang masih berbentuk hipotesis, pada asalnya diketengahkan oleh Dr A. Graham Cairns-Smith dari Universiti Glasgow pada tahun 1985. Pandangan beliau menarik perhatian beberapa orang saintis lain.

Pada tahun 2003, dalam satu artikel yang bertajuk Clay’s Matchmaking Could Have Sparked Life,yang dilaporkan di Newscientist.Com News Service (online) bertarikh 23 Oktober 2003,dinyatakan dua kompenan penting menjadi asas kepada permulaan kehidupan. Kedua-dua itu adalah kewujudan bahan genetic (genetic material) dankewujuda selaput sel (cell membranes). Seterusnya laporan itu menyebutkan kedua-dua kompenan ini mungkinbermula daripada tanah liat yang dikenali sebagai montmorillonite clay. Penemuan ini yang pada asalnya dilaporkan dalam jurnal Science (volume 302 muka surat 618), adalah hasil kajian Martin Hanczyc, Shelly Fujikawa dan Jack Szostak daripada Massachusetts General Hospital,Boston. Walaupun penemuan ini adalah satu penemuan yang baru dan kajian mengenainya masih lagi berterusan, namun ia sedikit sebanyak menunjukkan tanah liat adalah satu ramuan penting bagi kehidupan. Justeru mengaitkannya dengan kejadian manusia mempunyai asas daripada sudut sains.

Sebahagian ulama, seperti Syeikh Said Hawa (di dalam al-asas fi al-tafsir) dan Hamka (di dalam Tafsir al-Azhar) mengaitkan tanah dalam ayat ini dengan khasiat yang diperlukan bagi kesuburan manusia. Tanpa khasiat melalui tanah yang diperoleh daripada tumbuh-tumbuhan, sayur-sayuran dan buah-buahan, benih manusia tidak matang sekali gus menyebabkan kemandulan. Khasiat daripada tanah penting kepada manusia sehinggakan pakar-pakar pemakanan di dunia hari ini sudah menetapkan setiap individu perlu mengambil lebih kurang 280 gram sayur-asyuran setiap hari secara berterusan bagi memelihara kesihatan.

Dalam satu laporan yang dimuatkan dalam The Daily Californian bertarikh 28 February 2001,di bahagian Sci-Tech bertajuk Folate May Help Keep Sperm in Shape, Green Vegetable Consumtion May Increase Male Fertility, Decrease Childhood Cancer Risk in Offpsring ,menyatakan kaum lelaki memerlukan vitamin asid folik yang mencukupi bagi memastikan kesuburan sperma mereka berada pada tahap optimim. Dalam kajian ini pakar-pakar daripada Universiti California Berkeley mendapati pengambilan sayur-sayuran jurnal Fertility and Sterility pada bulan February 2001.

Dalam satu laporan yang lain yang bertajuk Lifestyle and Dietary Recommendations for the Infertile Male, pakar-pakar daripada Jabatan Urologi Universiti Cornell menyatakan, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang banyak adalah penting terutamanya bagi lelaki yang mandul. Hal ini disebabkan ia dapat mengubah keadaan kesihatan mereka sekali gus membantu mereka menjadi subur. Maklumat ini boleh diperoleh di www.cornellurology.com. Justeru tanah tidak boleh di pisahkan daripada asal usul dan proses kejadian manusia kerana sayur-sayuran dan buah-buahan berasal daripada tanah.

Ada Berapa Adam?

Salah satu persoalan menarik yang di timbulkan sesetengah pihak adalah berkenaan jumlah Adam yang sebenarnya. Adakah Adam hanya seorang ataupun adakah jumlahnya ramai? Hamka ( di dalam Tafsir al-Azhar) menggalakkan umat islam mengkaji bagi mengenal pasti sama ada di sana hanya terdapat satu Adam ataupun sebaliknya ramai Adam.

Syeikh Said Hawa pula (di dalam al-asas fi al-tafsir) menyuruh umat islam bersikap kritikal dengan pandangan yang mengatakan jumlah Adam yang asal adalah ramai. Namun beliau mahu umat islam mengetahui pandangan seumpamanya ini memang wujud.

Apabila kita kembali kepada Quran kita mendapati dialog yang berlaku antara Allah dan Adam melibatkan seorang Adam sahaja. Dan Allah lebih mengetahui.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan