Rabu, 7 Oktober 2009

IBADAH DALAM ASPEK PEMAKANAN

Makan dan minum adalah antara ibadah yang penting dalam islam. Makanan yang haram menjejaskan hubungan seseorang dengan Allah berdasarkan penjelasan Nabi Muhammad, “Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadah tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya?” Hadis ini direkodkan oleh Muslim,Ahmad dan Tarmizi.
Sebenarnya makanan yang haram merosakkan ibadah dan mendekatkan diri dengan azab di akhirat. Mengikut Tarmizi, nabi berkata, “Setiap daging yang tumbuh daripada benda yang haram maka api nerakalah yang lebih utama baginya.” Sahabat Abdullah bin Abbas pula berkata, “Tidak diterima solat seseorang yang di dalam tubuh badannya terdapat benda yang haram.”
Sebaliknya sebarang usaha bagi mendapatkan rezeki yang halal dirahmati oleh Allah.Rezeki yang halal ini membantu pelaksanaan ibadah. Makanan yang haram memberi kesan kepada jasad lantas melemahkannya untuk beribadah.
Antara perkara yang diharamkan oleh islam ialah arak, daging haiwan liar dan daging babi. Oleh itu kita sebagai umat islam perlu menjauhkan diri daripada perkara-perkara ini untuk memperoleh kesempuraan ibadah kita kepada Allah.

Makanan yang Halal Lagi berkhasiat

Dalam aspek pemakanan, Islam menekankan supaya dua criteria dijaga iaitu halal dan berkhasiat.Hal ini adalah berdasarkan penjelasan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 yang bermaksud, “Wahai manusia, makanlah apa-apa yang di atas muka bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan merupakan musuh yang nyata bagi kamu.”
Justeru, di samping halal, Islam juga menekankan supaya sesuatu makanan diambil daripada sumber yang baik lagi berkhasiat.Dalam tafsir al-Quran al-Azim, Imam Ibnu Kathir mentafsirkan makanan yang ‘baik’ sebagai yang ‘sesuai dengan selera di samping tidak mendatangkan kemudaratan kepada badan dan akal’.
Dalam surah al-Baqarah ayat 172 pula, Allah menegaskan , “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah apabila benar-benar hanya kepadanya kamu menyembah.”
Di dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, Imam Qurtubi mentafsirkan ‘rezeki yang baik-baik’ yang terdapat dalam ayat ini sebagai ‘makanan yang bermanfaat daripada segala sudut’.
Walau bagaimanapun pengambilan makanan yang berkhasiat secara berlebihan menghilangkan khasiatnya. Justeru, di samping kita mengambil makanan yang halal lagi berkhasiat, kita perlu juga bersikap sederhana dalam pengambilan itu.
Dalam sebuah hadis yang di laporkan oleh Tarmizi, Ahmad, Ibnu Majah dan an-Nasai, nabi berkata, “Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa melakukannya juga maka satu pertiga untuk makanannya satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.”
Individu yang paling prihatin berkenaan pemakanan yang halal lagi berkhasiat ini adalah Nabi Muhammad. Nabi adalah contoh bagi kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan